- March 20, 2025
- Posted by: jobje_usr
- Category:

Adakah anda baru melangkah ke alam pekerjaan? Adakah anda seorang pelatih industri “intern” atau graduan yang baru “fresh grads” mendapat kerja pertama? Jika ya, anda mungkin tertanya-tanya tentang cuti – bilakah boleh mengambil cuti? Berapa hari cuti yang anda layak? Bagaimana merancang cuti supaya tidak mengganggu kerja?
Sebagai pekerja baru, penting untuk anda memahami hak anda sebagai pekerja, termasuk hak untuk bercuti. Namun, pada masa yang sama, anda juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan cuti yang diambil tidak menjejaskan kelancaran kerja dan produktiviti syarikat. Oleh itu, perancangan cuti yang bijak sangat penting supaya anda dapat menikmati keseimbangan kerja dan kehidupan tanpa menjejaskan prestasi anda di tempat kerja.
Jangan risau! Dalam artikel ini, kami akan kupas semua yang anda perlu tahu tentang cuti kerja di Malaysia, termasuk jenis-jenis cuti, cara merancang cuti dengan bijak, dan panduan berguna untuk menguruskan cuti kecemasan.
1. Jenis-Jenis Cuti di Malaysia
Di Malaysia, pekerja diberikan beberapa jenis cuti bergaji yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955. Berikut adalah jenis cuti yang biasa diperuntukkan:
a) Cuti Tahunan
Cuti tahunan diberikan berdasarkan tempoh perkhidmatan pekerja dalam sesuatu syarikat. Mengikut Akta Kerja 1955:
- Kurang daripada 2 tahun bekerja: 8 hari
- 2 – 5 tahun bekerja: 12 hari
- Lebih daripada 5 tahun bekerja: 16 hari
b) Cuti Sakit
- Cuti sakit bergaji diberikan kepada pekerja yang mempunyai sijil perubatan yang sah
- Kurang daripada 2 tahun bekerja: 14 hari
- 2 – 5 tahun bekerja: 18 hari
- Lebih daripada 5 tahun bekerja: 22 hari
- Jika anda perlu dimasukkan ke hospital, anda boleh mendapat sehingga 60 hari cuti sakit bergaji setahun.
c) Cuti Umum
- Malaysia mempunyai cuti umum yang berbeza mengikut negeri. Pekerja berhak mendapat sekurang-kurangnya 11 hari cuti umum bergaji.
d) Cuti Bersalin dan Paterniti
- Cuti bersalin: 98 hari bergaji (untuk pekerja wanita yang layak)
- Cuti paterniti: 7 hari bergaji untuk pekerja lelaki.
e) Cuti Tanpa Gaji
- Cuti ini diberikan atas budi bicara majikan sekiranya pekerja telah menggunakan semua cuti yang diperuntukkan.
2. Cara Merancang Cuti dengan Berkesan
Sebagai pekerja baharu, perancangan cuti yang baik dapat membantu anda mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi. Berikut adalah beberapa tips:
a) Semak Polisi Cuti Majikan
- Setiap syarikat mungkin mempunyai polisi cuti yang berbeza. Pastikan anda memahami prosedur permohonan cuti dan syarat yang ditetapkan.
b) Rancang Cuti Awal
- Jika anda bercadang untuk mengambil cuti panjang, mohon lebih awal agar majikan boleh membuat perancangan kerja yang sesuai.
c) Elakkan Ambil Cuti Semasa Tempoh Penting
- Hindari mengambil cuti semasa tempoh sibuk seperti akhir bulan (bagi pekerja kewangan) atau musim kempen jualan (bagi pekerja pemasaran dan jualan).
d) Gunakan Cuti dengan Bijak
- Gabungkan cuti umum dengan cuti tahunan untuk mendapatkan tempoh rehat yang lebih panjang.
e) Pastikan Kerja Anda Selesai Sebelum Cuti
- Jangan tinggalkan kerja tertangguh sebelum bercuti. Pastikan semua tugasan telah diselesaikan atau diserahkan kepada rakan sekerja yang boleh mengambil alih.
f) Berbincang dengan Rakan Sekerja
- Sebelum mengambil cuti, atau jika anda mengambil cuti kecemasan, sila memberitahu dan berbincang dengan rakan sepasukan supaya mereka boleh membantu menguruskan tugasan anda semasa ketiadaan anda. Komunikasi dan kerjasama sangat penting untuk memastikan aliran kerja tidak terganggu dan semua tarikh akhir dipenuhi.
3. Bagaimana Menguruskan Cuti Kecemasan?
Cuti kecemasan adalah cuti yang diambil tanpa perancangan akibat situasi luar jangka. Berikut adalah cara terbaik untuk mengendalikannya:
a) Maklumkan Majikan Secepat Mungkin
Jika berlaku kecemasan, segera maklumkan majikan melalui panggilan telefon atau e-mel.
b) Sediakan Bukti Sokongan
Jika cuti kecemasan disebabkan oleh faktor seperti kematian keluarga atau kecemasan kesihatan, sediakan dokumen sokongan seperti sijil kematian atau surat doktor.
c) Jangan Selalu Ambil Cuti Kecemasan
Kerap mengambil cuti kecemasan boleh memberi tanggapan buruk kepada majikan. Pastikan anda hanya mengambil cuti ini apabila benar-benar perlu.
4. Contoh Situasi Perancangan Cuti
Untuk memudahkan anda, ini beberapa contoh bagaimana anda boleh merancang cuti:
✅ Situasi 1: Cuti Sempena Perayaan
Anda mahu bercuti panjang sempena perayaan? Gabungkan cuti umum dengan cuti tahunan supaya dapat rehat lebih lama.
✅ Situasi 2: Cuti untuk Urusan Peribadi
Perlu balik kampung untuk kenduri kahwin saudara? Rancang awal supaya tidak bertindih dengan kerja penting. Pastikan anda dapat merancang serta menyelesaikan tugasan sebelum mengambil cuti atau mencari alternatif yang sesuai bergantung kepada kerjaya serta tanggungjawab anda di tempat kerja supaya tidak menganggu operasi syarikat.
✅ Situasi 3: Cuti Mengejut kerana Hal Keluarga
Jika berlaku kecemasan seperti kematian ahli keluarga, segera maklumkan majikan dan sediakan dokumen sokongan.
5. Soalan Lazim Mengenai Cuti di Malaysia
a. Bolehkah majikan menolak permohonan cuti tahunan saya?
Ya, majikan mempunyai hak untuk menolak permohonan cuti jika ia mengganggu operasi syarikat. Oleh itu, adalah penting untuk memohon cuti lebih awal dan berbincang dengan majikan.
b. Adakah pekerja kontrak layak mendapat cuti tahunan?
Bergantung kepada kontrak kerja, sesetengah pekerja kontrak layak mendapat cuti tahunan seperti pekerja tetap. Semak perjanjian kerja anda untuk kepastian.
c. Berapa lama saya perlu bekerja sebelum layak mendapat cuti tahunan?
Anda layak mendapat cuti tahunan selepas bekerja selama 12 bulan dalam syarikat yang sama.
d. Apa yang perlu saya lakukan jika majikan tidak membenarkan saya mengambil cuti sakit?
Majikan tidak boleh menolak cuti sakit jika anda mempunyai sijil perubatan yang sah. Jika majikan masih enggan, anda boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
5. Adakah pekerja asing di Malaysia juga layak mendapat cuti tahunan dan cuti sakit?
Ya, pekerja asing juga layak mendapat cuti tahunan dan cuti sakit bergaji seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955, bergantung kepada kontrak pekerjaan mereka.
Mulakan kerjaya anda dengan JobJe sekarang!
Sebagai pekerja baru, adalah penting untuk anda tahu tentang hak cuti anda serta perancangan cuti yang bijak. Cuti yang dirancang dengan baik bukan sahaja membantu keseimbangan kerja dan kehidupan, tetapi juga memberi tanggapan yang baik kepada majikan.
Jika anda sedang mencari kerja full-time, part-time, internship, atau peluang pekerjaan untuk fresh grads di Malaysia dan Singapura, layari JobJe.asia sekarang untuk peluang pekerjaan terkini!